Bantuan Bas Sekolah Percuma
Baru-baru ini, Mai berjumpa dengan kawan sekolah yang sudah lama tak bertemu. Saja sembang-sembang dengan kawan, selit cerita kenangan zaman naik bas sama-sama waktu sekolah dulu. Sampailah ke cerita bantuan bas sekolah percuma yang dah pun wujud pada masa ini.
![]() |
Foto Utusan Online |
Setiap hari biasa dalam jam 6.30 pagi di kawasan rumah, nampak beberapa orang pelajar sedang berjalan kaki menuju ke perhentian bas dengan uniform sekolah berkain biru muda dan berseluar hijau tua. Tak lain tak bukan, mesti nak tunggu bas sekolah. Yelah, bas sekolah menjadi pengangkutan utama untuk ke sekolah. Jarak yang jauh dari rumah dan ibu bapa keluar awal bekerja membuatkan pelajar perlu menggunakan kenderaan awam ini.
Mai sendiri pernah menjadikan bas sekolah sebagai pengangkutan wajib ketika di sekolah menengah dahulu. Teringat pada waktu itu, setiap hari naik bas sekolah kerana abah bekerja ikut shif dan jarak sekolah dari rumah juga agak jauh. Makanya sedikit perbelanjaan perlu diperuntukkan untuk tambang bas sekolah.
Kini, bas sekolah percuma telah pun menjadi kenyataan atas inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang telah bermula pada 3 Januari 2017. Tapi bantuan ini untuk siapa sebenarnya?
Siapa yang Layak Terima Bantuan Bas Sekolah Percuma?
Seperti yang kita tahu, mereka yang tinggal di PPR dan PA adalah dari golongan berpendapatan rendah. Jadi, anak-anak penghuni di situ amat layak mendapat bantuan yang bagus ini.
Kemudahan bas sekolah secara percuma ini dinikmati oleh lebih 8000 anak-anak di PPR MTEN dan PA DBKL .
![]() |
Foto Utusan Online |
Manfaat Bantuan Bas Sekolah Percuma
Jika direnung kembali, banyak manfaat yang dapat daripada bantuan ini. Yang utamanya, perbelanjaan bulanan dapat dikurangkan dengan adanya bantuan ini.
Jika hanya seorang anak di dalam satu keluarga yang menaiki bas ke sekolah, perbelanjaan untuk tambang masih boleh diterima. Jika lebih daripada seorang, semakin tinggi kos yang diperlukan untuk tambang semata-mata. Ditambah pula dengan pendapatan ibu bapa yang rendah. Perbelanjaan lain juga perlu difikirkan. Jadi, bantuan ini dengan kos RM80 yang diperuntukkan untuk setiap pelajar seperti yang diberitahu oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan, memang sangat membantu para ibu bapa meringankan beban kewangan mereka.
Kadang-kadang ada juga segelintir pelajar yang kurang berkemampuan tak hadir ke sekolah hanya kerana belanja tambang bas tak cukup. Ya, ini benar-benar berlaku. Jika perkara ini sering terjadi, sedikit sebanyak ia akan mengganggu prestasi anak-anak dan membuatkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran.
Dengan adanya Bantuan Bas Sekolah Percuma ini, anak-anak akan berasa seronok untuk ke sekolah dan lebih fokus dalam pelajaran. Ibu bapa tak perlu susah hati lagi untuk menyediakan wang tambang bas sekolah. Tidak ada alasan untuk ponteng dengan wujudnya bantuan seperti ini.
![]() |
Foto GPS Bestari |
Alhamdulillah, beruntungnya pelajar anak-anak penghuni PPR MTEN dan PA DBKL di ibu kota yang mendapat bantuan bas sekolah percuma. Banyak kan faedah daripada bantuan ini? Bantuan yang disediakan oleh DBKL ini tidak sepatutnya disia-siakan, perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Pada keseleruhannya, program Bantuan Bas Sekolah Percuma inisiatif DBKL ini memberikan kesan positif yang besar dalam sesebuah keluarga terutamanya dari segi kewangan.
Mai sangat setuju jika program Bantuan Bas Sekolah Percuma inisiatif DBKL ini diteruskan agar lebih ramai golongan yang layak menikmatinya. Harapnya semoga negeri lain juga mengikut jejak langkah seperti KWP dan DBKL yang menyediakan bantuan seperti ini agar sama-sama dapat merasainya.